MEMBANTAH SANG USTADZ YANG MENGHALALKAN MAULID DENGAN DALIL KISAH MIMPI ABU LAHAB
Bismillah.
Pada kesempatan ini, saya ingin kongsikan sedikit bantahan terhadap syubhat yang telah dilontarkan oleh seorang Ustaz yang ketika itu menjawab soalan daripada para hadirin berkaitan hukum maulid. Disamping beliau memberikan jawapan, tidak kurang juga beliau sempat katakan:
‘Tahukah kalian, Abu Lahab diringankan azabnya setiap hari isnin disebabkan beliau bergembira disaat kelahiran Baginda. Beliau memerdekakan seorang hamba yang bernama Tsuwaibah.’
Juga beliau berkata:
‘maulid itu bukan berasal daripada syiah, itu hanyalah fitnah’.
Baik, di sini kita akan kongsikan sedikit sebanyak bantahan terhadap syubhat beliau, memandangkan beliau telah ‘block’ saya, diharap anak murid ataupun manusia yang taksub dengan beliau dapat lihat hujjah kita.
BANTAHAN 1: HADITH KISAH ABU LAHAB SHAHIHKAH?
Di antara dalil dan syubhat yang digunakan oleh orang-orang termasuk sang ustaz yang membolehkan perayaan maulid Nabi shallallahu alaihi wasallam adalah kisah salah seorang tokoh dalam kesyirikan yakni Abu Lahab.
Berikut nas yang mereka gunakan.
“Telah diperlihatkan Abu Lahab setelah meninggalnya di dalam mimpi. Dikatakan kepadanya: “Bagaimana keadaanmu?”, Dia menjawab, “Di dalam Neraka, hanya saja diringankan bagiku (siksaan) setiap malam Isnin dan dituangkan di antara dua jariku air sebesar ini (dia berisyarat dengan ujung jarinya) kerana saya memerdekakan Tsuwaibah ketika dia memberitahu berita gembira kepadaku tentang kelahiran Nabi shallallahu alaihi wasallam dan kerana dia telah menyusuinya.”.
As-Suyuthi berkata:
“Jika Abu Lahab yang kafir ini, yang Al-Qur`an telah turun mencelanya, diringankan (siksaannya) di neraka dengan sebab kegembiraan dia dengan malam kelahiran Nabi shallallahu alaihi wasallam, maka bagaimana lagi keadaan seorang muslim yang bertauhid dari kalangan ummat Nabi shallallahu alaihi wasallam yang gembira dengan kelahiran beliau dan menghabiskan seluruh kemampuannya dalam mencintai beliau shallallahu alaihi wasallam?!, saya bersumpah bahawa tidak ada balasannya dari Allah Yang Maha Pemurah, kecuali Dia akan memasukkannya berkat keutamaan dari-Nya ke dalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan.”
(As-Suyuthi menukil dari Ibnu jauzi, lihat kitab al-Hawy)
Kisah ini juga dipakai dan dijadikan dalil oleh Muhammad bin Alwi Al-Maliki dalam risalahnya Haulal Ihtifal bil Maulid, hal. 8 tatkala dia berkata:
“Telah datang dalam Shahih Al-Bukhari bahawa diringankan siksaan Abu lahab setiap hari Isnin dengan sebab dia memerdekakan Tsuwaibah …”
BANTAHAN.
Penyandaran kisah di atas kepada Imam al-Bukhari merupakan suatu kedustaan terhadap beliau. Asy-Syeikh At-Tuwaijiri berkata:
“Kerana tidak ada dalam riwayat Al-Bukhari sedikitpun yang disebutkan dalam kisah di atas.”
(ar-Raddul Qawi)
Berikut hadith yang mengisahkan tentang kisah di atas. Yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitabnya secara mursal dari Urwah Bin Zubair (seorang tabi’in):
‘Tsuwaibah, dulunya adalah budak perempuan Abu Lahab. Abu Lahab membebaskannya, lalu dia menyusui Nabi shallallahu alaihi wasallam. Tatkala Abu Lahab mati, dia diperlihatkan kepada sebahagian keluarganya (dalam mimpi) tentang buruknya keadaan dia”.
Dia (keluarganya ini) berkata kepadanya:
“Apa yang engkau dapatkan?”.
Abu Lahab menjawab: “Saya tidak mendapati setelah kalian kecuali saya diberi minum sebanyak ini (sedikit) kerana saya memerdekakan Tsuwaibah”.
ANALISA.
1. Jika kita perhatikan di dalam kitabnya para ulama, tidak kita temui dari kalangan mereka yang menggunakan hadith di atas sebagai dalil bagi membolehkan Maulid.
2. Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Kitab Fathul Bari mengkritik hadith tersebut sebagai Mursal. Kerana Urwah adalah seorang tabi’in dan beliau tidak menyebutkan dari siapa dia mendengar kisah ini. Sedangkan hadits mursal adalah termasuk dalam kategori hadits-hadits dhaif (lemah) yang tidak boleh dijadikan dalil.
Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah juga berkata:
“Hadis di atas menunjukkan bahawa di akhirat orang kafir boleh memperolehi manfaat dari amal kebaikan yang mereka lakukan, tetapi perkara ini bertentangan dengan zahir ayat al-Qur’an,
{وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا} [الفرقان: 23]
“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka usahakan, lalu Kami jadikan amal tersebut seperti debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqan: 23)
Maka, kenyataan di atas dijawab sebagaimana berikut: “Khabar tersebut adalah mursal yang dibawa oleh ‘Urwah dan dia tidak menyebutkan dari siapa dia mendapat kisah tersebut. Sekiranya hadis tersebut maushul, tetapi isi hadis tersebut adalah mimpi sehingga tidak layak untuk dijadikan sebagai hujjah. Boleh jadi saudaranya yang bermimpi itu belum masuk Islam ketika itu sehingga tidak dapat dijadikan hujjah.
(Ibn Hajar: Fathul Bari) Wallahu’alam.
3. Imam as-Suyuthi menukilnya dari Ibnu Jauzi di atas bahawa Abu Lahab memerdekakan Tsuwaibah disebabkan Tsuwaibah mengkhabarkan kelahiran Nabi shallallahu alaihi wasallam dan Tsuwaibah menyusui Nabi shallallahu alaihi wasallam adalah menyelisihi apa yang telah tetap di kalangan para ulama sirah. Kerana, dalam buku-buku sirah ditegaskan bahawa Abu Lahab memerdekakan Tsuwaibah jauh setelah Baginda berhijrah ke Madinah.
Al-Hafizh Ibnu Abdul Barr rahimahullah berkata dalam Al-Isti’ab setelah beliau menyebutkan kisah menyusuinya Nabi shallallahu alaihi wasallam kepada Tsuwaibah (beliau berkata:
“Dan Abu Lahab memerdekakannya setelah Nabi shallallahu alaihi wasallam berhijrah ke Madinah”.
4. Kegembiraan Abu Lahab merupakan fitrah seorang manusia, yang mana semua manusia memiliki fitrah tersebut. Apatah lagi, Nabi merupakan anak buah beliau, sudah tentu beliau bergembira atas kelahira Baginda. Hanya saja, kegembiraan itu bukan kerana Allah. Buktinya, setelah Abu Lahab mengetahui Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan Utusan Allah, dia pun memusuhi Baginda sehingga dia (Abu Lahab) mati. Maka, kegembiraan itu hanya fitrah bagi seseorang manusia.
Untuk lebih lanjut silakan kaji Kitab Bida’ al-Hauliyah atau telah diterjemahkan di dalam bahasa Indonesia ‘Bid’ah Dalam Setahun’ karya asy-Syeikh Hamud at-Tuwaijir rahimahullah.
MAULID DAN SYIAH.
Jika kita lihat kitab para Ulama terdahulu dari kalangan ulama 4 (Imam Syafie, Malik, Ahmad dan Abu Hanifah) tidak kita temui adanya perayaan seperti perayaa Maulid ini. Sedangkan mereka ini merupakan manusia yang paling cintakan Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka persoalannya, dari mana ia datang?
Ia berasal dari kelompok Fatimiyyun yang mana mereka ini menisbatkan diri mereka kepada Fatimah radhiallahu ‘anh.
Al Maqriziy (Pakar Sejarah):
“Para khalifah Fatimiyyun memiliki banyak perayaan sepanjang tahun. Ada perayaan tahun baru, hari ‘Asyura, maulid (hari kelahiran) Nabi, maulid Ali bin Abi Thalib, maulid Hasan dan Husain, maulid Fatimah, maulid khalifah yang sedang berkuasa, perayaan malam pertama bulan Rajab, perayaan malam pertengahan bulan Rajab, perayaan malam pertama bulan Sya’ban, perayaan malam pertengahan bulan Rajab, perayaan malam pertama bulan Ramadhan, perayaan malam penutup Ramadhan, perayaan ‘Idul Fithri, perayaan ‘Idul Adha, perayaan ‘Idul Ghadir, perayaan musim dingin dan musim panas, perayaan malam Al Kholij, hari Nauruz (Tahun Baru Persia), hari Al-Ghottos, hari Milad (Natal), hari Al-Khomisul ‘Adas (3 hari sebelum paskah), dan hari Rukubaat.”
(Al Mawa’izh wal I’tibar bi Dzikril Khutoti wal Atsar, 1/490. Dinukil dari kitab Bid’ah Dalam Setahun)
Asy Syaikh ‘Ali Mahfuzh dalam kitabnya Al Ibda’ fi Madhoril Ibtida’ juga mengatakan bahawa yang mengadakan perayaan Maulid pertama kali adalah ‘Ubaidiyyun (Fatimiyyun).
(Dinukil dari Al-Maulid)
Orang selalu menyangka bahawa golongan Fatimiyyun ini merupakan orang yang soleh. Hakikatnya tidak, lihat apa yang diperkatakan oleh Ulama tentang mereka.
Al-Qodhi Al-Baqillani menulis kitab khusus untuk membantah Fatimiyyun yang beliau namakan “Kasyful Asrar wa Hatkul Astar (Menyingkap rahasia dan mengoyak tirai)”. Dalam kitab tersebut, beliau membuka kedok Fatimiyyun dengan mengatakan:
“Mereka adalah suatu kaum yang menampakkan pemahaman Rafidhah (Syi’ah) dan menyembunyikan kekufuran semata.”
Ahmad bin ‘Abdul Halim Al-Harani Ad Dimasqiy mengatakan:
“Tidak disangsikan lagi, jika kita melihat pada sejarah kerajaan Fatimiyyun, kebanyakan dari raja (penguasa) mereka adalah orang-orang yang zalim, sering menerjang perkara yang haram, jauh dari melakukan perkara yang wajib, paling semangat dalam menampakkan bid’ah yang menyelisihi Al-Kitab dan As-Sunnah, dan menjadi pendukung orang munafik dan ahli bid’ah. Perlu diketahui, para ulama telah sepakat bahwa Daulah Bani Umayyah, Bani Al-‘Abbas (‘Abbasiyah) lebih dekat pada ajaran Allah dan Rasul-Nya, lebih berilmu, lebih unggul dalam keimanan daripada Daulah Fatimiyyun. Dua daulah tadi lebih sedikit berbuat bid’ah dan maksiat daripada Daulah Fatimiyyun. Begitu pula khalifah kedua daulah tadi lebih utama daripada Daulah Fatimiyyun.”
GOLONGAN FATIMIYYUN TIDAK ADA NASAB DENGAN FATIMAH RADHIALLAHU ‘ANHA.
Ibnu Khallikan mengatakan:
“Para ulama peneliti nasab mengingkari penisbatan mereka dalam nasab [yang katanya sampai pada Fatimah].”
(Wafayatul A’yan, 3/117-118)
Perhatikanlah pula perkataan Al-Maqrizy di atas, begitu banyak perayaan yang dilakukan oleh Fatimiyyun dalam setahun, kurang lebih ada 25 perayaan. Bahkan lebih parah lagi mereka juga mengadakan perayaan hari raya orang Majusi dan Nashrani yaitu hari Nauruz (Tahun Baru Persia), hari Al-Ghottos, hari Milad (Natal), dan hari Al-Khomisul ‘Adas (perayaan tiga hari selelum Paskah). Ini pertanda bahwa mereka jauh dari Islam. Bahkan perayaan-perayaan maulid yang diadakan oleh Fatimiyyun tadi hanyalah untuk menarik banyak masa supaya mengikuti madzhab mereka. Jika kita menilik aqidah mereka, maka akan nampak bahwa mereka memiliki aqidah yang rusak dan mereka adalah pelopor dakwah Batiniyyah yang sesat.
(Lihat Al Bida’ Al-Hawliyah/Bid’ah Dalam Setahun)
KESIMPULANNYA.
*Maulid Nabi tidak ada asal usulnya sama sekali dari salafush sholeh. Tidak kita temukan pada sahabat atau para tabi’in yang merayakannya, bahkan dari imam mazhab.
*Munculnya Maulid Nabi adalah pada masa Daulah Fatimiyyun sekitar abad tiga Hijriyah. Daulah Fatimiyyun sendiri dibinasakan oleh Shalahuddin Al-Ayubi pada tahun 546 H.
*Fatimiyyun memiliki banyak penyimpangan dalam masalah aqidah sampai aliran ekstrim di antara mereka mengaku Ali sebagai Tuhan. Fatimiyyun adalah orang-orang yang gemar berbuat bid’ah, maksiat dan jauh dari ketaatan pada Allah dan Rasul-Nya.
*Merayakan Maulid Nabi bermakna telah mengikuti Daulah Fatimiyyun yang pertama kali memunculkan perayaan maulid. Dan ini bermaksud telah ikut-ikutan dalam tradisi orang yang jauh dari Islam, senang berbuat sesuatu yang tidak ada tuntunannya, telah menyerupai di antara orang yang paling fasiq dan paling kufur.
Padahal Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
« مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ ».
“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian dari mereka”
(Hadith Riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawud. Syaikhul Islam dalam Iqtidho’ mengatakan bahawa sanad hadits ini jayyid/bagus) wallahu’alam
(nahimunkar.com)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar